Most Attractive Graduate Employer Brands
Share

Mahasiswa lebih utamakan gaji, bonus selepas tamat pengajian

KUALA LUMPUR – Penuntut institusi pengajian tinggi di negara ini meletakkan gaji dan bonus sebagai keutamaan untuk pemilihan kerjaya setelah menamatkan pengajian kelak, berdasarkan kaji selidik yang dilakukan firma pengambilan pekerja, Talentbank.

Kajian selama hampir setahun itu telah melibatkan penglibatan lebih 24,000 penuntut universiti awam dan swasta di seluruh negara.

Ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat berkaitan industri dan ciri-ciri majikan pilihan mereka, matlamat kerjaya serta jangkaan gaji permulaan.

Pengasas Talentbank, Ben Ho berkata, golongan siswa meletakkan peluang mengembangkan kerjaya sebagai keutamaan kedua, manakala siswi memilih ketua yang baik.

“Tidak memeranjatkan kajian ini menemui kedua-dua golo­ngan penuntut, iaitu lelaki dan wanita paling mementingkan soal gaji serta bonus.

“Kebanyakan mereka berkongsi jangkaan gaji permulaan antara RM2,500 hingga RM3,500 untuk pekerjaan pertama mereka dan elaun latihan industri RM1,000 sebulan.

“Selain itu, 96 peratus daripada responden bersedia membayar maksimum RM150 untuk latihan bagi meningkatkan skil mereka supaya dapat mene­rima gaji lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, lima industri pilihan siswa ialah kejurute­raan, teknologi, perbankan, elektro­nik dan telekomunikasi.

Siswi pula lebih meminati industri perbankan, pendidikan, perakaunan dan khidmat profesional, e-dagang serta teknologi.

Source: https://www.kosmo.com.my/2020/11/17/mahasiswa-lebih-utamakan-gaji-bonus-selepas-tamat-pengajian/